Loji Rawatan Air Trusan Akan Perkukuh Bekalan Air Jangka Panjang
LAWAS: Pembinaan Loji Rawatan Air Trusan bakal meningkatkan kapasiti bekalan air sekali gus memenuhi keperluan penduduk serta pembangunan kawasan itu pada masa hadapan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, loji baharu berkapasiti 50 juta liter sehari (MLD) yang dicadangkan itu akan menjadi penyelesaian jangka panjang dalam memperkukuh sistem bekalan air di Trusan dan kawasan sekitarnya.
Menurut beliau, aspek pengambilan air mentah bagi projek berkenaan perlu diberi perhatian khusus bagi memastikan sumber yang dipilih mampu menjamin operasi loji secara berterusan serta mengambil kira perubahan keadaan semula jadi sungai.
“Walaupun kajian awal telah dibuat, kita perlu melihat semula lokasi pengambilan air mentah supaya masalah sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Wilayah Trusan, di sini pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan kerajaan kini melaksanakan langkah segera bagi menangani isu semasa berkaitan sistem pengambilan air mentah sedia ada, termasuk kerja-kerja penyelenggaraan dan mitigasi sementara sebelum penyelesaian jangka panjang direalisasikan.
Katanya, semua tindakan berkaitan perlu disegerakan bagi memastikan bekalan air kepada penduduk terus terjamin di samping memastikan pelaksanaan pembangunan infrastruktur air berjalan lancar dan berkesan.
Pembinaan Loji Rawatan Air Trusan itu merupakan antara inisiatif berterusan Kerajaan Sarawak dalam menaik taraf kemudahan asas, khususnya sistem bekalan air, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Apabila siap kelak, projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada penduduk Trusan dan kawasan sekitarnya melalui peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat serta penyediaan sistem bekalan air yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidillah Abdul Latip, Timbalan Pengarah Pembangunan JBALB Tamida Da’adi dan Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran.- EDISI UKAS