Pembaikan Paip Pecah Pujut 3 Dijangka Selesai Malam Ini
MIRI: Kerja-kerja pembaikan paip utama jenis AC berukuran 18 inci yang pecah berhampiran GK Supermarket di Bulatan Pujut 3 dijangka siap sekitar pukul 8 malam ini, manakala bekalan air ke kawasan terjejas akan dipulihkan secara berperingkat selepas sistem agihan kembali stabil.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, proses pemulihan bekalan air dijangka mengambil masa sehingga 12 jam bergantung kepada tekanan dalam sistem agihan.
“Lori tangki air telah dihantar ke kawasan terjejas bagi membantu penduduk yang memerlukan bekalan air sementara,” katanya selepas meninjau sendiri kerja-kerja pembaikan yang dijalankan oleh Sarawak Water di lokasi kejadian petang Jumaat.
Terdahulu pagi tadi, Lee dimaklumkan mengenai gangguan bekalan air di Permyjaya, Desa Senadin, Tudan dan kawasan sekitarnya, Lee segera menghubungi Sarawak Water bagi mendapatkan maklumat mengenai punca kejadian serta perkembangan kerja-kerja pembaikan.
Sarawak Water memaklumkan, kejadian paip pecah yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu menjejaskan bekalan air di Piasau, Permyjaya, Tudan, Lutong, Senadin, Southlake, Vista Perdana, Kuala Baram serta kawasan sekitarnya.
“ Sarawak Water turut membuka beberapa injap sempadan bagi mengalihkan bekalan air ke beberapa kawasan, sekali gus membolehkan sebahagian pengguna menerima semula bekalan air pada sebelah petang,” katanya.
Beliau berkata, bekalan air tidak akan pulih serentak sebaik sahaja kerja pembaikan selesai kerana sistem agihan memerlukan masa untuk diisi semula dan membina tekanan sebelum bekalan kembali normal.
Sehubungan itu, beliau menggesa Sarawak Water terus menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai sehingga bekalan air dipulihkan sepenuhnya.
Menyentuh kesesakan lalu lintas di sekitar Bulatan Pujut 3, Lee berkata kejadian itu bukan sahaja menjejaskan bekalan air, malah turut menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya.
Susulan itu, beliau telah menghubungi Polis Daerah Miri bagi menempatkan anggota trafik di lokasi terjejas untuk mengawal dan melancarkan aliran trafik di laluan yang sememangnya sibuk setiap hari.- EDISI UKAS