KMKK Tonggak Penyampaian Dasar, Penggerak Pembangunan Akar Umbi
SARIKEI: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat dalam memastikan dasar, inisiatif serta agenda pembangunan negeri dapat diterjemahkan secara berkesan hingga ke peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, KMKK bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan, malah menjadi penggerak utama dalam mengenal pasti keperluan masyarakat serta membantu memastikan pelaksanaan pembangunan memberi manfaat kepada rakyat.
“Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan KMKK, kerajaan telah meningkatkan kadar gaji dan elaun bulanan sebanyak RM400 sebulan berkuat kuasa Januari 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Bersama Premier Sarawak dan KMKK Bahagian Sarikei di Dewan Sentral, di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok menambah, kepimpinan akar umbi yang efektif dan inklusif amat penting dalam memastikan setiap program serta projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Majlis berkenaan turut menghimpunkan lebih 400 KMKK dari seluruh Bahagian Sarikei meliputi Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan kepimpinan komuniti di peringkat tempatan.
Mengulas mengenai Program Sarawakku Sayang yang berlangsung di bahagian itu, Dato Sri Huang berkata, program berkenaan menjadi platform penting dalam menyampaikan agenda pembangunan sosioekonomi negeri secara terus kepada rakyat.
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja memberi penerangan mengenai dasar dan inisiatif kerajaan, malah membuka ruang interaksi dua hala antara pemimpin dengan rakyat bagi memahami keperluan, isu serta cabaran semasa di lapangan.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: Hazrin Sunaini & George S. Embie