KMKK Pemangkin Penyampaian Dasar Kerajaan Ke Akar Umbi
SARIKEI: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, khususnya dalam memastikan dasar, inisiatif serta agenda pembangunan kerajaan difahami dan disampaikan dengan tepat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr ) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kefahaman yang baik dalam kalangan KMKK terhadap dasar kerajaan dapat mengukuhkan hubungan antara pemimpin masyarakat, rakyat dan pentadbiran.
“Jika ketua masyarakat memahami dasar yang diperkenalkan, maka hubungan antara rakyat dengan pemimpin serta pentadbiran akan menjadi lebih erat dan tersusun,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Malam bersama KMKK Bahagian Sarikei di Dewan Sentral Sarikei di sini pada Jumaat.
Menurut beliau lagi, KMKK mempunyai kedudukan penting dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan dapat difahami masyarakat, selain menjadi saluran bagi menyampaikan maklum balas rakyat kepada pihak pentadbiran.
Sehubungan itu, beliau menyeru KMKK supaya terus memainkan peranan aktif dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar kerajaan kepada masyarakat serta menggalakkan generasi muda memanfaatkan peluang pendidikan dan teknologi yang disediakan.
“Peranan tuan-tuan amat penting dalam memastikan rakyat memahami hala tuju negeri, sekali gus bersama-sama kita membangunkan Sarawak sebagai pemain utama di peringkat serantau,” katanya.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan isteri yang juga Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak Dato Baduyah Bujang, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii serta tetamu lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: Hazrin Sunaini & George S. Embie