Seminar Adat Iban Perkukuh Kompetensi Ketua Kaum Baharu Di Betong
SRI AMAN: Seramai 70 ketua kaum Iban lantikan baharu dari Bahagian Betong memperkukuh kefahaman mengenai undang-undang adat menerusi Seminar Adat Iban 1993 bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Iban yang diadakan di sebuah hotel, di Sri Aman pada Khamis.
Ketua Majlis, Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Datu Dr Neilson Ilan Mersat berkata seminar tersebut bertujuan meningkatkan kompetensi ketua kaum supaya lebih memahami undang-undang adat secara kohesif dan komprehensif dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Beliau berkata, penguasaan terhadap adat dan peraturan berkaitan amat penting bagi memastikan setiap isu yang melibatkan masyarakat dapat ditangani secara berkesan serta selaras dengan peruntukan undang-undang adat yang berkuat kuasa.
Seminar itu turut menampilkan perkongsian pengalaman daripada lima ketua masyarakat Iban Bahagian Betong yang diketuai Temenggong Richard Mulok Entring bagi memberi pendedahan praktikal kepada ketua-ketua kaum yang baharu dilantik.
Hadir sama, wakil Residen Betong Althrina Marla Sandai, pegawai-pegawai Pejabat Pentadbiran Bahagian Betong serta pegawai kanan MAIS. -EDISI UKAS