KUCHING: Seramai 301 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima Pingat Jasa Pahlawan Sarawak (PJPS) sebagai pengiktirafan terhadap khidmat dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan keamanan serta keselamatan negara.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menyempurnakan majlis penganugerahan tersebut di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Khamis.
Penganugerahan itu menjadi tanda penghargaan Kerajaan Sarawak kepada veteran yang telah mencurahkan khidmat bakti sepanjang tempoh perkhidmatan, khususnya dalam memastikan keamanan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Dalam kesempatan tersebut, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menzahirkan penghargaan kepada seluruh veteran atas semangat patriotisme, kesetiaan dan pengorbanan yang dicurahkan demi kepentingan rakyat serta negara.
Beliau turut menegaskan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati Sarawak pada hari ini tidak terpisah daripada jasa dan keberanian anggota pasukan keselamatan yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh komitmen.
Antara penerima yang mendahului senarai penganugerahan ialah Dato Idris Buang, Jeneral Tan Sri Dato Sri Affendy Buang (B), Tan Sri Dato Sri Mohd Jamil Johari dan Dato Mohd Chee Abdul Kadir.
Turut menerima PJPS ialah Datuk Abang Abdul Wahab Julai, Datuk Awang Bujang Awang Antek, Datuk Gingkoi Seman Pancras, Datuk Khir Busrah, Fazillah Dato Sri Alli Kawi yang menerima bagi pihak Allahyarham Dato Sri Alli Kawi, Dato Nyomek Nyeap, Datu Chai Khin Chung, Datin Maznah Jantan yang menerima bagi pihak Allahyarham Datuk Mohd Johnny Mustapha, Dato Clarence Rorote Sagon dan Dato Mohamad Morshidi m Mustapha.
Antara penerima lain ialah Dato Sulaiman Abdul Razak, Dato Benjamin Hasbie, Dato Alladin Kassim, Brigadier Jeneral Dato Muhammad Daniel @ Damien Abdullah (B) serta Dato S. Sathiya Seelan.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah turut berharap penganugerahan PJPS terus menjadi lambang penghormatan Kerajaan Sarawak kepada veteran yang telah berbakti kepada negara, selain menjadi teladan kepada generasi baharu untuk menghayati nilai patriotisme, kesetiaan dan tanggungjawab kepada tanah air.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah dan Panglima Divisyen Pertama Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusuf. -EDISI UKAS