Program Sarawakku Sayang Permudah Akses Rakyat Kepada Perkhidmatan Kerajaan
SARIKEI: Akses rakyat kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan dipermudah menerusi Program Sarawakku Sayang (SKS) yang menghimpunkan agensi berkaitan di satu lokasi bagi membolehkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan, maklumat dan maklum balas secara terus.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pendekatan turun padang itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mendekatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, sekali gus memudahkan mereka berurusan tanpa perlu mengunjungi lokasi berasingan.
“Melalui program ini, kita datang kepada rakyat dan memaklumkan apakah perkhidmatan yang boleh disumbangkan, di samping mereka mendapat jawapan serta maklum balas segera berkaitan pelbagai perkara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis prapelancaran Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei 2026 di Kompleks Sukan Sarikei di sini pada Jumaat.
Menurut beliau lagi, persiapan program berkenaan berjalan lancar menjelang perasmian rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Sabtu.
Tambahnya, sambutan masyarakat setakat ini amat menggalakkan dengan kaunter berkaitan pendidikan dan peluang pekerjaan antara yang mendapat perhatian pengunjung.
Katanya, penyediaan maklumat berkaitan kerjaya turut memberi manfaat kepada golongan belia dalam mengenal pasti peluang pekerjaan dalam sektor awam dan swasta, selain memahami proses permohonan serta laluan kerjaya yang tersedia.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua serta Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS