Konsortium Penyiaran Tempatan Perkukuh Kerjasama Hadapi Sukan SEA 2027
PAHANG: Kerjasama erat antara kluster penganjuran dan badan penyiar disifatkan sebagai elemen penting dalam memastikan kelancaran liputan Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 pada 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, komunikasi berkesan antara semua pihak menjadi asas kepada pembentukan hubungan strategik serta penyelarasan gerak kerja yang lebih tersusun.
Menurut beliau, Bengkel Konsortium Penyiaran Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 yang berlangsung selama tiga hari itu memberi peluang kepada semua ahli konsortium mengenal pasti kaedah terbaik bagi memastikan setiap tugasan dilaksanakan secara sistematik, teratur dan berlandaskan komitmen yang tinggi.
“Semua gerak kerja konsortium penyiaran adalah ‘visible’ kerana ia mempunyai impak besar terhadap pembentukan imej penganjuran dan kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah.
“Walaupun terdapat tawaran daripada badan penyiar luar negara, MASOC tetap yakin dan meletakkan kepercayaan kepada kepakaran penyiar tempatan untuk menjayakan liputan temasya ini,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan bengkel berkenaan di sini, pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua anggota konsortium supaya bergerak seiring dan berkongsi matlamat yang sama dalam memastikan setiap acara sukan menerima liputan yang menyeluruh, profesional serta memenuhi standard penyiaran antarabangsa.
Bengkel yang bermula pada Rabu itu menghimpunkan wakil TVS, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Media Prima, Astro Arena, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Media Digital Johor (MDJ) serta Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang.
Terdahulu, sesi perbincangan berkumpulan yang berlangsung semalam mencapai tiga resolusi utama, iaitu persetujuan RTM, TVS, Astro dan Media Prima untuk membentuk konsortium penyiar rasmi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027, penetapan jenis liputan bagi setiap acara sukan serta pemuktamadan standard produksi bagi penerbitan siaran langsung dari venue pertandingan.
Sukan SEA Ke-34 akan berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 dengan melibatkan 43 jenis sukan yang dipertandingkan di kluster Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MASOC Maslina Muhamad Yusof @ Kamarudin, Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi MASOC Norismadi Abdul Manap, Pengarah Media Digital Johor (MDJ) Tazrina Ahmad, Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Inovasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Saiful Syarizal Yaakob dan Ketua Penolong Pengarah UKAS Wilma Stanley Geramong. -EDISI UKAS