Lima Usahawan Sarawak Teroka Pasaran Halal Lebih Luas Melalui MIHF 2026
AYER KEROH: Lima syarikat dan usahawan Sarawak berpeluang meneroka pasaran halal yang lebih luas menerusi penyertaan dalam Melaka International Halal Festival (MIHF) 2026 di Melaka International Trade and Exhibition Centre (MITC), Melaka, dari 7 hingga 9 Ogos.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) berkata, penyertaan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperluas akses pasaran dan memperkenalkan produk tempatan Sarawak kepada pemain industri, pembeli serta prospek perniagaan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Lima syarikat dan usahawan yang menyertai MIHF 2026 ialah Myginho Marketing Sdn Bhd, Syarikat Watiahli, A.A. Aryan Enterprise, PPES Ternak Sdn Bhd dan AJ Truly Spices.
Menurut MINTRED, platform berkenaan memberi peluang kepada usahawan memperkenalkan produk, membina jaringan perniagaan serta meneroka peluang padanan perniagaan, termasuk akses kepada pembeli dan pengedar baharu.
“Penyertaan usahawan Sarawak dalam festival berkenaan turut memberi peluang kepada mereka memperkenalkan produk kepada pemain industri, pembeli dan prospek perniagaan, di samping meneroka peluang padanan perniagaan, jaringan pasaran serta akses kepada pembeli dan pengedar baharu,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Penganjuran MIHF 2026 menyasarkan penyertaan 530 usahawan dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM20 juta.
Antara usahawan Sarawak yang diketengahkan ialah Azilawati Abdullah daripada AJ Truly Spices yang menghasilkan produk berasaskan lada Sarawak.
Menurut kenyataan yang sama, produk berkenaan telah mendapat pensijilan halal dan berjaya menembusi pasaran luar negara, sekali gus menunjukkan potensi produk hiliran lada Sarawak untuk terus dikembangkan dalam pasaran halal.
“Penyertaan di MIHF 2026 memberi peluang kepada beliau memperkenalkan produk Sarawak yang mempunyai potensi untuk terus dikembangkan dalam pasaran halal, di samping membuka ruang kepada jaringan dan peluang perniagaan baharu,” menurut kenyataan itu.
MINTRED berkata, sektor halal mempunyai potensi besar untuk diterokai oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Sarawak, khususnya dalam produk makanan, rempah-ratus, produk berasaskan pertanian serta produk tempatan yang mempunyai nilai tambah dan identiti Sarawak.
Penyertaan tersebut turut menyokong usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh ekosistem keusahawanan, meningkatkan daya saing PMKS serta membuka lebih banyak akses pasaran kepada produk tempatan.
MINTRED akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dan rakan strategik dalam menyediakan platform promosi serta akses pasaran kepada usahawan Sarawak bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan dan menembusi pasaran halal yang lebih luas. -EDISI UKAS