Kuching Juara Kejohanan Bola Jaring MAKSAK Sarawak 2026
SIBU: Pasukan Kuching muncul juara Kejohanan Bola Jaring Antara Bahagian Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Sarawak 2026 selepas menewaskan Sibu A dalam saingan sengit yang berlangsung di Stadium Tertutup Sibu di sini, pada Ahad.
Kemenangan itu menyaksikan Sibu A berpuas hati di tempat kedua, manakala Kapit dan Bintulu berkongsi kedudukan di tempat ketiga bersama bagi kejohanan yang bermula 7 Ogos lepas.
Anugerah Fair Play pula disandang oleh pasukan Sarikei atas semangat kesukanan tinggi yang ditunjukkan sepanjang saingan.
Kejohanan kali ini turut menyaksikan penguasaan bakat individu dari pelbagai bahagian.
Pemain Sibu A, Wong Sung Wei menonjol sebagai bintang kejohanan apabila merangkul dua anugerah utama iaitu Pemain Terbaik dan Penjaring Terbanyak selepas mencatatkan jaringan luar biasa sebanyak 133 gol.
Rakan sepasukannya, Kathrerine Khoo Sen Sen dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik, manakala gelaran Pertahanan Terbaik diraih oleh Serreny Nasib @ Anta dari pasukan juara, Kuching.
Selain itu, wakil Sri Aman turut mencuri tumpuan apabila Liew Yiew Ching, 54, diiktiraf sebagai Pemain Paling Senior, manakala rakan sepasukannya, Aleesha Awatif Azmi, 22, merangkul anugerah Pemain Harapan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Biro Sukan MAKSAK Wanita Sarawak Haluyah Awi, yang mewakili Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak Dato Baduyah Bujang.
Turut hadir menyaksikan acara penutup tersebut ialah Setiausaha Kehormat MAKSAK Wanita Sarawak, Norhayati Mornie. -EDISI UKAS