Gereja St Anna Jugan Terus Jadi Pengukuh Perpaduan Komuniti
LUNDU: Gereja St Anna, Kampung Jugan terus memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pusat ibadah dan pengukuhan keimanan, malah sebagai institusi yang menyatukan masyarakat menerusi nilai kekeluargaan, kebajikan dan semangat saling membantu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, peranan tersebut telah terserlah sepanjang 69 tahun penubuhan Gereja St Anna yang menjadi sebahagian daripada sejarah dan kehidupan masyarakat Kampung Jugan serta kawasan sekitarnya.
Menurutnya, gereja berkenaan bukan sahaja menyimpan pelbagai kenangan dan sejarah masyarakat setempat, malah menjadi wadah kepada pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan usaha kebajikan demi kesejahteraan bersama.
“Gereja bukan sekadar tempat umat beribadah, mengamalkan ajaran agama dan memperkukuhkan keimanan, malah turut berperanan sebagai institusi penting dalam membentuk nilai kekeluargaan, menyemai kasih sayang, budaya saling membantu serta mempererat semangat kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Gereja St Anna, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Billy menekankan kepentingan masyarakat terus menghargai keharmonian dalam kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang menjadi antara kekuatan utama Sarawak.
Katanya, kepelbagaian tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang kepada masyarakat untuk hidup bersama secara aman, sebaliknya perlu dijadikan asas dalam memperkukuh perpaduan, persefahaman dan sikap saling menghormati.
Sambutan ulang tahun ke-69 itu mencerminkan kesinambungan peranan Gereja St. Anna sebagai pusat kerohanian yang turut menyumbang kepada kebajikan, perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat. -EDISI UKAS