Program SKS Sarikei 2026 Labuh Tirai, Tarik 115,150 Pengunjung
SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026 melabuhkan tirai dengan catatan membanggakan apabila menghimpunkan seramai 115,150 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, sekali gus merancakkan ekonomi setempat dan memperkukuh peranan program itu sebagai platform kerajaan mendekati rakyat.
Daripada jumlah tersebut, hari pertama merekodkan 21,301 pengunjung, diikuti 36,689 orang pada hari kedua sebelum melonjak kepada 57,160 pengunjung pada hari ketiga.
Penasihat di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, sambutan luar biasa itu mencerminkan keberkesanan pendekatan kerajaan dalam membawa perkhidmatan serta maklumat secara terus kepada rakyat.
“Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan rakyat berurusan, malah memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, mesra dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penangguhan Program Sarawakku Sayang 2026 di Kompleks Sukan Sarikei, di sini pada Ahad.
Menurut beliau, program berkenaan menghimpunkan 45 agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan pelbagai perkhidmatan menerusi pameran serta kaunter perkhidmatan sepanjang tiga hari penganjuran.
Pada masa sama, penyertaan usahawan tempatan menerusi gerai jualan turut memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, selain menyemarakkan suasana sepanjang program berlangsung.
Jelas beliau, SKS bukan sekadar menjadi platform penyampaian dasar, inisiatif dan perkhidmatan kerajaan, malah membuka ruang kepada usahawan tempatan memperluaskan pasaran, mempromosikan produk serta meningkatkan pendapatan.
Mengulas lanjut, Tan Sri William Mawan berkata, kejayaan penganjuran SKS 2026 tidak hanya diukur berdasarkan jumlah pengunjung atau nilai jualan, sebaliknya turut diterjemahkan menerusi semangat kerjasama, perpaduan dan kebersamaan yang ditunjukkan semua pihak.
“Program ini berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang dalam suasana harmoni, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan yang menjadi asas kepada kemajuan negeri,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee serta tetamu lain.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: Ibanez Jeffery Guang, Hazrin Sunaini, George S. Embie & Alderson Achan