PYFCT Platform Lahir Bakat Bola Sepak Muda Bintulu
BINTULU: Kejohanan Bola Sepak Remaja PETRONAS Bawah 10 Tahun 2026 (PYFCT 2026) Bintulu dilihat mampu menjadi platform mencungkil serta mengembangkan bakat bola sepak muda di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts Johnny Pang Leong Ming berkata penganjuran kejohanan melibatkan pemain bawah 10 tahun bukan hanya bertujuan mencari pemenang, tetapi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak untuk membina keyakinan, disiplin dan semangat berpasukan.
Menurutnya, pengalaman beraksi dalam pertandingan juga penting bagi membentuk pemain muda supaya mampu menerima kemenangan dan kekalahan secara positif.
“Pada usia ini, menang atau kalah bukan perkara paling penting.
“Apa yang lebih penting ialah membantu anak-anak kita mencintai sukan dan belajar tentang kerja berpasukan, disiplin, ketekunan serta cara menghadapi kemenangan dan kekalahan,” katanya dalam majlis penyampaian hadiah PYFCT 2026 di Stadium Bintulu pada Ahad.
Ts Johnny berkata, sokongan berterusan daripada ibu bapa, jurulatih, pegawai dan pihak penganjur amat penting bagi memastikan bakat muda dapat berkembang secara berterusan.
Beliau berharap pemain muda yang menyertai kejohanan itu terus diberikan ruang dan bimbingan supaya berupaya mengembangkan potensi masing-masing hingga ke peringkat Sarawak dan kebangsaan.
Dalam kejohanan itu, ASRMxIGAN FC muncul juara, diikuti Mukah United sebagai naib juara dan Leetonia Soccer Academy di tempat ketiga.
ASRMxIGAN FC turut memenangi anugerah Fair Play manakala pemainnya Mohammad Amzar Hazim Mohd Amiru Aniza dipilih sebagai Pemain Terbaik dan Mohd Raish Iman Zumie sebagai Penjaga Gol Terbaik.
Pemain Leetonia Soccer Academy, Muhammad Azzreil Arislan pula dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak.-EDISI UKAS