Tilawah Al-Quran Bintulu Perkukuh Penghayatan Al-Quran Dalam Masyarakat
BINTULU: Penganjuran Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu terus menjadi medium memperkukuh penghayatan terhadap Al-Quran, khususnya dalam membentuk masyarakat yang seimbang dari aspek pembangunan fizikal, ilmu dan kerohanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, sambutan masyarakat terhadap program berkenaan menunjukkan Al-Quran masih menjadi panduan dalam kehidupan walaupun masyarakat berdepan tuntutan kehidupan yang semakin kompleks.
Menurutnya, penyertaan dalam tilawah bukan sekadar pertandingan untuk menentukan pemenang, sebaliknya mencerminkan usaha peserta mendalami dan memuliakan kalam Allah SWT.
“Walau siapa pun yang dinobatkan sebagai johan, kesemua mereka adalah pemenang di sisi Allah SWT kerana berusaha memuliakan kalam-Nya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu 1448H/2026M di Masjid At-Taqwa, di sini pada Khamis.
Iskandar berkata, tilawah perlu dilihat lebih daripada sekadar pertandingan bacaan kerana penghayatan terhadap Al-Quran turut melibatkan usaha memahami, mentadabbur dan mengamalkan mesej yang terkandung di dalamnya.
Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan ilmu tajwid dan qiraat yang sahih bagi memastikan ketepatan bacaan serta kesinambungan ilmu Al-Quran terus dipelihara dalam kalangan generasi muda.
Mengulas tema ‘Ummah Maju Makmur’, beliau berkata kemajuan masyarakat perlu bergerak seiring antara pembangunan ekonomi, sains dan teknologi dengan pengukuhan iman, ilmu serta akhlak.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada masjid dan surau di Bahagian Bintulu yang terus berperanan sebagai pusat pendidikan Islam, pengukuhan akidah dan penyatuan masyarakat.
Dalam pertandingan berkenaan, Abang Hakimi Syarizal Abang Jasmani muncul johan kategori Qari, manakala Aina Yazmyn Natasha Abdul Aziz dinobatkan sebagai johan kategori Qariah.
Kedua-dua pemenang menerima piala pusingan, wang tunai RM3,500 serta hadiah iringan.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Bintulu Dzuldhadzri Japar Shedik, Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Mohd Fazri Yusof serta Pengurus Besar Malaysia LNG Sdn Bhd Nazman Rusli. -EDISI UKAS