163 Penjawat Awam Terima Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Sarikei
SARIKEI: Seramai 163 penjawat awam daripada 17 jabatan dan agensi kerajaan menerima Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Sarikei sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi serta khidmat bakti mereka dalam perkhidmatan awam negeri.
Pingat tersebut disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada majlis yang berlangsung di sini, hari ini.
Mendahului senarai penerima ialah Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Shafrie Saili, yang telah berkhidmat selama 28 tahun.
Daripada keseluruhan penerima, 11 jabatan dan agensi adalah di bawah kerajaan negeri, manakala enam lagi merupakan jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan.
Antara penerima ialah 14 orang daripada Pejabat Residen Bahagian Sarikei, 13 daripada Jabatan Hutan Sarawak, empat daripada Jabatan Kerja Raya Sarawak, 18 daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, 10 daripada Jabatan Pertanian Sarawak dan 15 daripada Majlis Daerah Sarikei.
Selain itu, seorang penerima masing-masing daripada Jabatan Agama Islam Sarawak, manakala dua penerima masing-masing daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak serta Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak turut menerima pingat berkenaan.
Manakala 12 penerima daripada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak, tiga daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, tujuh daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak, enam daripada Jabatan Penerangan Negeri Sarawak, 24 daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan 28 daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Pada majlis sama, tiga penjawat awam turut diberi penghargaan atas rekod perkhidmatan selama 37 tahun, iaitu Philip Sanjan daripada Jabatan Pertanian Sarawak, Abdul Latip Onsen daripada Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak dan Dacy Christopher Ugot daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Residen Bahagian Sarikei, Datu Micheal Ronnie Langgong serta ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini