Pendidikan Jadi Asas Semai Patriotisme, Perpaduan Generasi Muda Kapit
KAPIT: Institusi pendidikan perlu terus diperkasa sebagai ruang membentuk generasi muda yang bukan sahaja berilmu, tetapi turut mempunyai semangat patriotisme, rasa tanggungjawab terhadap negara dan komitmen memelihara perpaduan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, nilai patriotisme perlu diterapkan sejak di bangku sekolah bagi membentuk generasi yang memahami erti kemerdekaan serta menghargai keamanan dan keharmonian masyarakat.
“Program seperti ini bukan sekadar menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, malah menjadi platform penting untuk memupuk semangat patriotisme, cintakan negara dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan generasi muda sejak di bangku sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Semarak Kemerdekaan 2026 anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Kapit dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist Kapit, di sini pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram itu berkata, pembangunan modal insan perlu dilihat secara menyeluruh kerana kecemerlangan akademik sahaja tidak memadai tanpa disertai nilai murni, semangat cintakan negara dan kesedaran terhadap tanggungjawab kepada masyarakat.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak akan terus menyokong inisiatif yang memperkukuh sektor pendidikan kerana pembangunan modal insan merupakan pelaburan jangka panjang untuk menyediakan generasi yang mampu meneruskan pembangunan negeri.
Sebagai sokongan terhadap usaha tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan RM15,000 kepada SK Methodist Kapit bagi membantu pelaksanaan aktiviti serta pembangunan sekolah.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Kapit Robert Liman Anak, Penolong Pegawai Daerah Kapit Anyie Awing serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Watson Awan Jalai.-EDISI UKAS