Asrama SK Bandar Bintangor Bantu Atasi Kekangan Pengangkutan Murid
SARIKEI: Kemudahan asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor membantu mengatasi kekangan pengangkutan yang dihadapi sebahagian murid, sekali gus memastikan mereka dapat mengikuti sesi persekolahan secara lebih konsisten.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kemudahan asrama memberi pilihan kepada ibu bapa, khususnya bagi keluarga yang berdepan cabaran perjalanan, jarak dan pengangkutan anak-anak ke sekolah.
Menurut beliau, kemudahan berkenaan bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, malah membantu memastikan murid mendapat akses pendidikan dalam persekitaran yang lebih teratur dan selamat.
“Asrama bukan sekadar tempat tinggal, malah menjadi wadah dalam membentuk disiplin, jati diri, kepimpinan dan sikap berdikari dalam kalangan murid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Terbuka Asrama SK Bandar Bintangor 2026 di Dewan SK Bandar Bintangor, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, asrama baharu sekolah berkenaan mempunyai kapasiti 30 murid dan kini mencatatkan penghunian 100 peratus, melibatkan 18 murid lelaki dan 12 murid perempuan.
Menurutnya, penggunaan penuh kapasiti tersebut menunjukkan kemudahan asrama mempunyai peranan penting dalam memenuhi keperluan murid serta membantu keluarga memastikan pendidikan anak-anak tidak terjejas akibat masalah pengangkutan.
Pada masa sama, beliau berkata kemudahan asrama turut menyediakan ruang yang lebih tersusun untuk murid membangunkan disiplin, kepimpinan dan sikap berdikari melalui kehidupan bersama di luar waktu persekolahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Ding turut mengumumkan prasarana dapur SK Bandar Bintangor akan dinaik taraf bagi menambah baik kemudahan serta keselesaan murid.
Kemudahan asrama berkenaan turut menyokong penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum apabila mereka berjaya meraih Johan Keseluruhan Karnival Seni dan Sukan Asrama Daerah Meradong, Johan Bola Tampar Bahagian Sarikei, Johan Bola Tampar Pembangunan Bahagian Sarikei serta tempat ketiga Tarian Cina Peringkat Sarawak.
Beliau berharap kemudahan asrama itu terus dimanfaatkan sepenuhnya sebagai sokongan kepada ibu bapa dan murid, khususnya mereka yang berdepan kekangan pengangkutan, selain membantu melahirkan generasi berilmu, berdisiplin dan berdaya saing.
Turut hadir, Guru Besar SK Bandar Bintangor Zamerene Ruin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Nasaruddin Ibrahim dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bandar Bintangor Jmann Julaihi. -EDISI UKAS