Keperluan Ruang Aktiviti Belia Akan Diberi Perhatian
KOTA SAMARAHAN: Keperluan menyediakan lebih banyak ruang untuk aktiviti belia dan sukan di Kota Samarahan akan terus diberi perhatian sejajar dengan usaha kerajaan memperluaskan kemudahan rekreasi yang memenuhi kehendak masyarakat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pihaknya menerima pelbagai cadangan daripada golongan belia, termasuk berkaitan penyediaan kawasan bagi aktiviti sukan lasak dan rekreasi.
“Banyak permohonan diterima daripada golongan belia berkaitan aktiviti sukan. Kita akan melihat keperluan tersebut dan menelitinya dalam perancangan pembangunan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Halaman Samarahan kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), pada Jumaat.
Menurut beliau, walaupun belum terdapat perancangan khusus untuk membangunkan kawasan bagi aktiviti sukan permotoran lasak, cadangan tersebut tidak diketepikan dan akan dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian serta keperluan semasa.
Beliau menjelaskan bahawa keutamaan ketika ini adalah melengkapkan kemudahan asas di Halaman Samarahan sebelum pembangunan kemudahan lain dilaksanakan secara berperingkat.
Datuk Rubiah berkata, penyediaan lebih banyak ruang aktiviti bukan sahaja memberi peluang kepada golongan belia mengembangkan minat dalam bidang sukan dan rekreasi, malah mampu menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti yang sihat serta memperkukuh hubungan sosial.
“Potensi kawasan ini sangat besar dan kita mahu memanfaatkannya secara maksimum supaya pelbagai aktiviti yang memberi nilai tambah kepada masyarakat dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa pembangunan kemudahan awam perlu mengambil kira keperluan semasa masyarakat agar setiap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan secara optimum oleh semua lapisan komuniti.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kr Abang Ismawi Abang Ali, serta Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak.-EDISI UKAS