MAKSAK Wanita Sarawak Perkasa Agenda Kebajikan Sempena SKS 2026 Sarikei
SARIKEI: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Wanita Sarawak mempergiat agenda kebajikan dan kemasyarakatan menerusi pelbagai pengisian sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sarikei, pada Jumaat.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama MAKSAK Wanita Bahagian Sarikei itu merangkumi aktiviti pendidikan, sosial dan kebajikan yang berlangsung di Sarikei Kitchen, tapak penganjuran SKS 2026.
Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Dato Baduyah Bujang hadir menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan menerusi inisiatif MAKSAK Cares kepada penerima yang terlibat.
Menerusi Sumbangan Ikhlas Sempena Sarawakku Sayang, seramai 75 murid Tadika Perpaduan Sarikei menerima beg cenderahati bernilai RM50 setiap seorang, dengan 20 orang murid hadir menerima sumbangan secara simbolik pada majlis berkenaan.
Selain itu, lapan guru pengiring Tadika Perpaduan Sarikei turut menerima cenderamata sebagai penghargaan atas penglibatan mereka dalam menjayakan program berkenaan.
Pada majlis sama, MAKSAK Cares turut menyampaikan sumbangan kepada Hospital Sarikei dalam bentuk peralatan bukan perubatan bagi menyokong keperluan pihak hospital dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pesakit.
Turut diserahkan ialah Geran Tahunan MAKSAK Wanita berjumlah RM5,000 kepada MAKSAK Wanita Bahagian Sarikei sebagai sokongan terhadap pelaksanaan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan di peringkat bahagian.
Dalam pada itu, pihak penganjur menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, atas sumbangan dana yang disalurkan bagi menjayakan pelaksanaan inisiatif kebajikan tersebut di Bahagian Sarikei.
Selain sesi penyerahan sumbangan, Dato Baduyah turut menyaksikan demonstrasi masakan tradisional Sarikei serta mengadakan lawatan ke gerai-gerai jualan di sekitar tapak SKS sebagai sebahagian daripada pengisian program.
Pelbagai aktiviti yang dilaksanakan mencerminkan komitmen berterusan MAKSAK Wanita Sarawak dalam memperluas manfaat kebajikan, di samping mengeratkan hubungan dengan masyarakat menerusi program yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Program SKS 2026 Bahagian Sarikei turut menjadi platform bagi MAKSAK Wanita Sarawak memperkukuh hubungan bersama masyarakat melalui pendekatan kebajikan dan kemasyarakatan yang berterusan.-EDISI UKAS