Konsert Rakyat SKS 2026 Sarikei Tarik Ribuan Pengunjung
SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sarikei terus mencuri tumpuan apabila ribuan pengunjung membanjiri Kompleks Sukan Sarikei bagi menyaksikan Konsert Rakyat pada malam Sabtu.
Kawasan sekitar pentas mula sesak dengan kehadiran orang ramai sejak sebelah petang, manakala tempat duduk yang disediakan penuh sehingga sebahagian pengunjung terpaksa berdiri untuk mengikuti persembahan.
Acara dimulakan dengan persembahan tarian sebelum pentas diserikan dengan persembahan artis tempatan dan tanah air yang silih berganti menghiburkan penonton.
Antara artis tempatan yang membuat persembahan ialah Iwan Dasri, Ricky Andrewson, Chien Ng, Dayangku Fadzilah dan Yadee, selain turut menampilkan Bob Yusof serta Ratu Dangdut Malaysia, Amelina.
Kemeriahan malam tersebut turut diserikan dengan persembahan Band D’Jaksa yang menghidupkan suasana melalui persembahan muzik secara langsung, sekali gus menarik pengunjung untuk kekal di lokasi sehingga acara berakhir.
Turut hadir menyaksikan konsert berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak Dato Baduyah Bujang dan Residen Bahagian Sarikei Michael Ronnie Langgong. -EDISI UKAS