Penubuhan CENTEX Baharu Perkasa Modal Insan Sarikei
SARIKEI: Penubuhan institusi teknikal baharu berasaskan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) yang telah diluluskan bakal memperluas peluang pembangunan modal insan berkemahiran di Bahagian Sarikei.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, institusi tersebut penting bagi menyediakan peluang pendidikan teknikal yang lebih dekat kepada masyarakat, khususnya golongan muda di Sarikei dan kawasan sekitarnya.
Menurutnya, Tanjung Manis dicadangkan sebagai lokasi institusi berkenaan, namun keputusan mengenai tapak sebenar masih dalam pertimbangan.
“Pembukaan jambatan baharu di Sarikei menjadikan jarak perjalanan antara Sarikei dan Tanjung Manis lebih dekat, sekali gus memudahkan hubungan serta pergerakan penduduk antara kedua-dua kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Sarikei bertempat di Sarawak Pavilion, Kompleks Sukan Sarikei, pada Ahad.
Katanya lagi, penempatan institusi berkenaan sama ada di Tanjung Manis atau Sarikei tidak menjadi isu utama, sebaliknya penawaran kursus perlu diberi keutamaan.
Katanya, bidang latihan yang ditawarkan kelak perlu disesuaikan dengan keperluan masyarakat dan industri bagi memastikan kemahiran yang diperoleh mempunyai nilai pasaran.
“Kursus yang bakal ditawarkan oleh CENTEXS akan disusun berdasarkan keperluan dan permintaan masyarakat setempat bagi memastikan latihan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Dalam masa sama jelasnya, penubuhan institusi tersebut dijangka membuka lebih banyak ruang kepada anak tempatan untuk mendapatkan latihan teknikal dan kemahiran tanpa perlu bergantung kepada institusi di luar kawasan.
Ujarnya, langkah itu mampu menyokong keperluan tenaga kerja berkemahiran selaras dengan perkembangan sektor ekonomi dan pembangunan baharu di Sarikei serta kawasan sekitarnya. - EDISI UKAS