Suri Rumah Bertuah Bawa Pulang Gelang Emas RM15,000 dari SKS Sarikei
SARIKEI: “Saya masih rasa seperti bermimpi kerana tidak pernah terlintas akan memenangi hadiah sebesar ini.”
Itulah yang dilontarkan oleh Martini Jaafar Sidek, pemenang hadiah utama E-Peraduan QR Code berupa gelang emas seberat 20 gram bernilai kira-kira RM15,000 sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sarikei yang melabuhkan tirainya hari ini.
Suri rumah dari Kampung Semop Daro itu tidak menyangka kunjungannya ke Program SKS 2026 Bahagian Sarikei memberi tuah kepadanya apabila muncul sebagai pemenang hadiah utama peraduan tersebut yang menjadi antara tarikan utama pengunjung sepanjang berlangsungnya program berkenaan.
Menurut Martini, beliau pada awalnya hadir ke tapak SKS hanya bagi memenuhi permintaan salah seorang anaknya sebelum mengambil peluang menyertai peraduan yang disediakan kepada pengunjung.
Beliau berkata, penyertaan dilakukan dengan mengimbas kod QR yang disediakan, diikuti proses pendaftaran dan menjawab soalan berdasarkan maklumat yang dipamerkan oleh jabatan serta agensi kerajaan.
“Saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki buat keluarga,” katanya ketika ditemubual pada Ahad.
Hadiah disampaikan oleh Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom bersama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.
Hadiah gelang emas berkenaan menjadi antara tarikan utama E-Peraduan QR Code yang mendapat penyertaan pengunjung sepanjang SKS 2026 Bahagian Sarikei.
Sebanyak 82 hadiah keseluruhan disediakan menerusi E-Peraduan tersebut kepada peserta yang memenuhi syarat penyertaan, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk memenangi pelbagai hadiah.
Selain menawarkan peluang membawa pulang hadiah, E-Peraduan QR Code turut menggunakan pendekatan digital bagi menggalakkan masyarakat mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan, inisiatif dan program kerajaan yang dipamerkan oleh jabatan serta agensi sepanjang program.
Kemenangan Martini membuktikan penyertaan dalam pengisian SKS bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat memperoleh maklumat berkaitan kerajaan, malah turut menghadirkan pengalaman dan rezeki yang tidak disangka kepada pengunjung. - EDISI UKAS