SKS Sarikei Tarik 115,150 Pengunjung Dalam Tiga Hari
SARIKEI: Sambutan terhadap Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026 mencapai kemuncak apabila seramai 115,150 pengunjung direkodkan sepanjang tiga hari penganjurannya di Kompleks Sukan Sarikei.
Jumlah berkenaan menjadi catatan kehadiran tertinggi bagi penganjuran SKS setakat ini, mengatasi rekod 102,049 pengunjung yang direkodkan di Bahagian Sibu sebelum ini.
Kehadiran dalam jumlah besar itu menggambarkan penerimaan masyarakat terhadap SKS yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan, aktiviti kemasyarakatan, hiburan serta peluang ekonomi dalam satu lokasi.
Selain menjadi tumpuan orang ramai, penganjuran kali ini turut memberi ruang kepada usahawan dan peniaga tempatan menjana pendapatan apabila jumlah jualan keseluruhan peserta dianggarkan mencapai RM334,932.50.
Sebanyak 158 kaunter daripada 47 agensi kerajaan dan swasta turut beroperasi sepanjang program, menawarkan pelbagai perkhidmatan, penerangan dan khidmat nasihat secara terus kepada pengunjung.
Tarikan SKS Sarikei tidak terhad kepada perkhidmatan awam apabila pelbagai aktiviti turut disusun bagi melibatkan masyarakat daripada pelbagai lapisan, termasuk Sukaneka Rakyat, e-Peraduan serta aktiviti sukan.
Pengisian seni dan budaya turut mendapat perhatian apabila Malam Budaya Sarawak dan Konsert Rakyat menjadi antara acara yang menarik orang ramai untuk terus berada di lokasi program.
Kehadiran yang mencecah lebih 100,000 orang dalam tempoh tiga hari turut memperlihatkan SKS sebagai platform yang mampu menggabungkan penyampaian perkhidmatan, penglibatan komuniti, promosi budaya dan aktiviti ekonomi secara serentak.
Dengan jumlah pengunjung serta nilai jualan yang dicatatkan, SKS Bahagian Sarikei 2026 sekali gus meninggalkan rekod baharu dari segi sambutan dan memberi gambaran positif terhadap potensi program seumpama itu untuk terus mendekati masyarakat serta membuka ruang kepada peniaga tempatan. - EDISI UKAS