Masyarakat Perlu Bersama Lindungi Infrastruktur Utiliti Sarawak
KUCHING: Masyarakat perlu memainkan peranan bersama dalam melindungi infrastruktur utiliti awam bagi memastikan kesinambungan bekalan elektrik kepada seluruh kawasan di Sarawak tidak terjejas.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerjasama orang ramai amat penting dalam membantu pihak utiliti menangani cabaran termasuk kegiatan vandalisme dan gangguan terhadap infrastruktur elektrik.
Tegas beliau, sebarang tindakan merosakkan atau mengganggu kemudahan utiliti boleh menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna, sekali gus memberi kesan kepada kehidupan harian masyarakat.
“Jika melihat sebarang kejadian seperti vandalisme atau gangguan terhadap infrastruktur awam di kawasan masing-masing, sila salurkan maklumat kepada pihak kami supaya gangguan bekalan elektrik dapat dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum majlis penyampaian hadiah Sarawak Energy Marathon 2026, di sini pada Ahad.
Menurut Dato Sri Julaihi, memastikan semua kawasan dan penempatan di Sarawak terus mendapat bekalan elektrik merupakan tanggungjawab bersama, termasuk di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.
Menyentuh pencapaian program berkenaan, beliau turut memuji penganjuran Sarawak Energy Marathon 2026 yang mencatatkan penyertaan 8,544 peserta dari Sarawak, Malaysia dan luar negara termasuk Kenya.
Beliau berkata, peningkatan penyertaan selepas penjenamaan semula acara itu menunjukkan sambutan yang menggalakkan, selain berpotensi menarik lebih ramai peserta pada edisi akan datang.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili dan dif kenamaan lain.-EDISI UKAS