SABERKAS Cadang Pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Baharu Di Petra Jaya
SIBU: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) bercadang membangunkan sebuah kompleks ibu pejabat baharu di Petra Jaya bagi menampung keperluan fasiliti rekreasi, sukan dan ruang acara yang semakin meningkat.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Presiden SABERKAS, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perancangan tersebut dibuat susulan kekurangan kemudahan lokasi bagi aktiviti sukan mahupun majlis perkahwinan di kawasan sekitar.
"SABERKAS melihat kepada sesuatu yang lebih besar kerana di Kuching wujud keperluan terhadap tempat rekreasi, terutamanya sukan dan majlis perkahwinan. Pihak kami menghadapi masalah berkenaan kemudahan itu.
"Sebab itu kami berhasrat mempunyai kompleks ibu pejabat baharu yang dilengkapi fasiliti sukan serta boleh digunakan untuk majlis perkahwinan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Selamat Datang sempena Perhimpunan Agung Tritahunan (TGM) SABERKAS Sarawak Ke-18, di sini pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, kedudukan kewangan pertubuhan yang kukuh membolehkan projek berkenaan direalisasikan.
Beliau mendedahkan, sebuah kawasan di Petra Jaya telah dikenal pasti dan perbincangan lanjut akan dijalankan bersama Jabatan Tanah dan Survei bagi proses kelulusan atau pemilikan tanah daripada Kerajaan Sarawak.
Katanya, kompleks yang bakal dibina itu disasar menjadi sebuah bangunan ikonik memandangkan umur penubuhan pertubuhan belia tersebut kini telah mencecah 53 tahun.
Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan berkenaan masih di peringkat awal dan maklumat terperinci berhubung rekabentuk serta kos hanya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri.
"Peringkat ini masih di fasa awal dan kami perlu berbincang dengan kerajaan negeri.
"Selepas perkara ini dipersetujui dan dimuktamadkan, barulah gambaran projek serta kosnya dapat dikongsikan kepada umum dan media," jelasnya.-EDISI UKAS