Fun Run, Fun Walk Semarak Hari Ketiga Program SKS 2026 Sarikei
SARIKEI: Hari ketiga Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sarikei berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 2,000 peserta dalam acara 5KM Fun Run dan 3KM Fun Walk, pada Ahad.
Acara yang bermula di hadapan Kastam Diraja Malaysia Sarikei itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur, termasuk keluarga, belia serta komuniti setempat.
Pelepasan peserta disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Turut hadir menyaksikan pelepasan berkenaan ialah Residen Bahagian Sarikei Datu Michael Ronnie Langgong dan Timbalan Residen Bahagian Sarikei Shafrie Saili.
Kedua-dua acara tersebut memberi peluang kepada masyarakat untuk meluangkan masa melakukan aktiviti fizikal secara bersama, selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kehidupan seharian.
Kemeriahan turut terserlah apabila peserta hadir bersama ahli keluarga dan rakan-rakan, menjadikan aktiviti berkenaan bukan sekadar acara riadah, malah platform untuk mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Selesai acara Fun Run dan Fun Walk, peserta kemudian meneruskan aktiviti dengan sesi senamrobik yang berlangsung dalam suasana penuh bertenaga.
Sebagai tanda penghargaan kepada penyertaan orang ramai, 1,000 peserta terawal menerima medal selepas menamatkan acara masing-masing.
Penganjuran aktiviti berkenaan menjadi antara pengisian Program Sarawakku Sayang Sarikei 2026 yang mengetengahkan aktiviti berbentuk kesihatan, sukan dan kemasyarakatan untuk dinikmati bersama oleh masyarakat setempat.-EDISI UKAS