Kemajuan Betong Perlu Disokong Pembinaan Masyarakat Berakhlak
SARATOK: Kemajuan pembangunan di Bahagian Betong perlu disertai usaha membina masyarakat yang mempunyai pegangan agama, akhlak dan jati diri yang kukuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pembangunan fizikal dan pembentukan masyarakat tidak boleh dilihat sebagai dua perkara yang berasingan kerana kedua-duanya penting dalam menentukan arah kemajuan sesebuah kawasan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak komited meneruskan pembangunan di Bahagian Betong supaya kawasan berkenaan terus berkembang dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.
“Kerajaan komited untuk terus membangunkan kawasan Betong agar tidak ketinggalan, selaras dengan hasrat melahirkan ummah yang maju dan makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M Peringkat Daerah Saratok dan Ulang Tahun Ke-8 Masjid Al-Muhtadin di Masjid Al-Muhtadin, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohamad berkata penghayatan terhadap akhlak dan keperibadian Nabi Muhammad SAW perlu diterapkan dalam kehidupan seharian sebagai asas membina hubungan masyarakat yang lebih baik.
Katanya, pembangunan yang dicapai perlu disokong masyarakat yang mempunyai nilai tanggungjawab, saling menghormati serta mampu mengekalkan keharmonian dalam komuniti.
Beliau turut menyentuh kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak.
Majlis bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’ itu menghimpunkan kira-kira 750 penduduk serta 29 kontinjen daripada agensi kerajaan, sekolah dan pertubuhan.
Walaupun acara perarakan dan perhimpunan luar dibatalkan selaras dengan arahan pihak berkuasa, pertandingan sepanduk dilaksanakan di perkarangan masjid mengikut syarat yang ditetapkan.
Balai Bomba dan Penyelamat Saratok muncul juara Kategori A (Agensi Kerajaan), Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kupang bagi Kategori B (Sekolah), manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melango memenangi Kategori C (Komuniti).
Turut hadir, Pegawai Daerah Saratok merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Muhammad Dino Amid, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muhtadin, Yusuf Trang dan Wakil Pegawai Agama Islam Bahagian Betong, Ismail Yusof. -EDISI UKAS