UNIFOR Peruntuk RM70,000 Untuk Naik Taraf Bumbung Holy Rosary Chapel
MIRI: Holy Rosary Chapel di Piasau Utara menerima peruntukan RM70,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi kerja menaik taraf bumbung bangunan berkenaan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, bantuan itu turut memberi manfaat kepada komuniti setempat memandangkan chapel berkenaan bukan sahaja digunakan untuk aktiviti keagamaan, malah berfungsi sebagai dewan serbaguna.
Beliau berkata, Holy Rosary Chapel mempunyai keunikan tersendiri kerana terletak dalam komuniti yang dihuni masyarakat berbilang agama termasuk Kristian dan Islam yang telah hidup bersama secara harmoni sejak sekian lama.
“Semangat kerjasama antara masyarakat berlainan agama ini menjadikan Holy Rosary Chapel bukan sekadar sebuah rumah ibadat, malah turut berfungsi sebagai dewan serbaguna untuk kegunaan komuniti Kampung Piasau Utara,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek UNIFOR kepada Holy Rosary Chapel, di sini pada Isnin.
Menurut Datuk Sebastian, sejarah chapel berkenaan turut memperlihatkan penglibatan masyarakat daripada latar belakang agama berbeza dalam usaha mengumpul dana dan menyokong pembangunan kemudahannya.
Katanya, hubungan tersebut perlu terus dipelihara kerana keharmonian antara kaum dan agama merupakan antara kekuatan penting Sarawak.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan juga wajar diteruskan dalam kalangan generasi muda supaya kepelbagaian agama dan budaya terus menjadi asas kehidupan bermasyarakat.
Sementara itu, Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, peruntukan UNIFOR membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap keperluan rumah ibadat bukan Islam serta kemudahan yang digunakan komuniti setempat.
Beliau berkata, kemudahan rumah ibadat yang baik penting bagi memastikan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan dapat dilaksanakan dalam keadaan lebih selesa. -EDISI UKAS