Lebih 60 Rumah Terjejas Ribut, Laporan Kerosakan Dihantar Kepada NADMA
LIMBANG: Lebih 60 rumah persendirian di beberapa kawasan di Limbang terjejas akibat ribut yang melanda pada 19 Ogos lalu, dengan tahap kerosakan daripada kecil hingga hampir keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, penilaian menyeluruh terhadap semua kediaman terjejas sedang dilakukan sebelum laporan lengkap dikemukakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memudahkan penyaluran bantuan.
“Laporan akhir akan dihantar kepada NADMA pada tengah hari ini dan saya meminta supaya semua rumah dinilai, sama ada mengalami kerosakan kecil atau besar, bagi memudahkan penyaluran bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau kawasan yang terjejas akibat ribut di Limbang, pada Isnin.
Menurutnya, kira-kira 62 hingga 63 rumah persendirian dilaporkan terjejas, termasuk di Kampung Limpaki, Perumahan RPR Batu Biah Fasa 4 dan Fasa 2, Kampung Seberang Kedai serta Kampung Pemukat.
Katanya, kerosakan paling serius direkodkan di Kampung Pemukat apabila sebuah rumah mengalami kerosakan hampir keseluruhan selepas bumbungnya diterbangkan angin sebelum merempuh sebuah surau berhampiran.
“Di Kampung Pemukat, sebuah rumah hampir 100 peratus rosak apabila atapnya diterbangkan dan merempuh surau sehingga menyebabkan surau itu terpaksa ditutup kerana mengalami kebocoran,” katanya.
Datuk Hasbi berkata, kejadian itu turut mengakibatkan kerosakan kepada beberapa kemudahan awam termasuk parkir kereta di masjid dan perumahan kerajaan, padang futsal serta Dewan Kampung Bunga Raya.
Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, tindakan mendapatkan bantuan telah dimulakan pada hari kejadian apabila beliau menghubungi Ketua Pengarah NADMA di Kuala Lumpur bagi memohon bantuan segera untuk mangsa yang terjejas.
Ujarnya, kerja pembaikan awal perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan risiko kepada penduduk, khususnya sekiranya hujan kembali melanda.
“Kerjasama semua pihak amat penting dalam menghadapi musibah ini. Saya telah mengarahkan supaya dana JKKK digunakan terlebih dahulu untuk membantu mangsa dan gotong-royong digerakkan bagi membaiki atap sebelum hujan turun semula,” katanya.
Menurutnya, kejadian ribut tersebut dianggap serius dan jarang berlaku, malah kejadian seumpamanya difahamkan kali terakhir berlaku sekitar tahun 2000, selain terdapat laporan mengenai dua pusaran angin yang melanda kawasan berkenaan.
Beliau berkata Pusat Khidmat Parlimen Limbang kini menunggu laporan penuh kerosakan bagi membantu mangsa, selain berharap bantuan turut dapat disalurkan oleh Kerajaan Sarawak, Pejabat Kebajikan dan Baitulmal selepas laporan lengkap diterima. -EDISI UKAS