Maulidur Rasul Perkukuh Perpaduan & Kesejahteraan Masyarakat Balingian
BALINGIAN: Sambutan Maulidur Rasul perlu dijadikan medan menghayati perjuangan, akhlak dan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian bagi memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, tema ‘Ummah Maju Makmur’ dan subtema ‘Rasulullah SAW Suri Tauladan Ummah’ amat signifikan dalam membentuk masyarakat yang seimbang dari aspek pembangunan fizikal dan kerohanian.
“Kemajuan sebenar perlu disertai kekuatan akhlak, perpaduan dan kesejahteraan hidup. Masyarakat yang bersatu akan memudahkan usaha pembangunan dilaksanakan dan manfaatnya dinikmati bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M Peringkat Daerah Kecil Balingian pada Selasa.
Menurut Abdul Yakub, sambutan berkenaan perlu menjadi titik perubahan untuk masyarakat terus memperkukuh silaturahim dan menghidupkan sunnah Baginda SAW bagi memastikan Balingian kekal aman, harmoni dan sejahtera.
Program itu menyaksikan penyertaan 13 kontinjen, dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Balingian muncul johan Pertandingan Kontinjen, diikuti Kampung Kuala Balingian dan Sekolah Kebangsaan (SK) Parish.
Bagi Pertandingan Sepanduk, SK Parish muncul johan, manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulat dan JKKK Kampung Masjid masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Faridah Osman, Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip, Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Balingian, Nolin Gendang, Pengerusi Sambutan Maulidur Rasul 2026, Penghulu Harbi Bakir dan Pengerusi Masjid Darul Taqwa Balingian, Ismail Syawal. -EDISI UKAS