MPBN Platform Belia Miri Kemuka Idea, Usul Perkukuh Pembangunan Belia
MIRI: Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Miri Tahun 2026 menjadi platform penting bagi golongan belia mengemukakan pandangan, idea dan usul berkaitan pembangunan belia serta isu semasa yang memberi kesan kepada masyarakat dan daerah Miri.
Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata, MPBN merupakan satu platform, forum atau mini parlimen yang memberi ruang kepada pemimpin belia dan pemimpin daerah berbincang mengenai isu serta merangka dasar berkaitan perkembangan dan pembangunan generasi belia.
Menurut beliau, penglibatan belia dalam persidangan berkenaan secara tidak langsung membuktikan bahawa golongan itu turut memainkan peranan dalam menentukan hala tuju pembangunan dan masa depan negara.
“Belia bukan lagi sekadar pemimpin masa hadapan, tetapi pemimpin hari ini yang mencorakkan hala tuju daerah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Miri, Melissa Labut dalam persidangan tersebut di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Residen Bahagian Miri pada Sabtu.
Beliau berkata, landskap belia pada 2026 semakin mencabar dengan perkembangan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau serta kestabilan sosioekonomi yang menjadi antara faktor penting dalam menentukan masa depan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan program pembangunan belia perlu selari dengan keadaan persekitaran dan tuntutan semasa, termasuk usaha memperkukuh jati diri, semangat patriotisme serta nilai integrasi kaum.
Beliau turut menggesa supaya persepsi negatif terhadap golongan belia diperbetulkan dengan melihat mereka sebagai aset penting negara serta diberi ruang untuk menyertai arus pembangunan dan proses pembuatan dasar.
Katanya, pembangunan belia tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan kejayaan ekonomi, sebaliknya turut mengambil kira kesihatan mental, kesejahteraan emosi dan penglibatan belia daripada pelbagai latar belakang tanpa ada golongan yang terpinggir. -EDISI UKAS