Belia Perlu Diberi Ruang Terajui Aktiviti Persatuan
BINTULU: Golongan muda perlu diberi ruang lebih besar untuk mengurus dan menerajui aktiviti persatuan bagi memastikan kesinambungan organisasi serta melahirkan barisan pemimpin baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, penglibatan belia tidak seharusnya terhad sebagai peserta program, sebaliknya mereka perlu diberi kepercayaan untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan aktiviti persatuan.
Menurutnya, pendedahan secara langsung dalam pengurusan program dapat membina pengalaman serta kemahiran kepimpinan yang sukar diperoleh sekiranya golongan muda hanya berada di peringkat penyertaan.
“Sesebuah persatuan yang mahu terus berkembang dalam jangka panjang semestinya memerlukan penglibatan golongan muda, selain memberi mereka peluang untuk merancang, memikul tanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing.
“Penganjuran acara sukan merupakan antara langkah yang baik untuk memulakannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian 2026 ‘Clan Basketball Competition’ di Stadium Persatuan Bola Keranjang Bintulu, di sini pada Ahad.
Johnny berkata, aktiviti sukan menyediakan ruang praktikal kepada belia untuk mempelajari aspek kerja berpasukan, komunikasi, penyelarasan dan disiplin, selain membiasakan mereka berdepan dengan kejayaan serta kegagalan.
“Dalam proses menganjurkan aktiviti dan menyertai pertandingan, golongan muda bukan sahaja mempelajari kemahiran bola keranjang, tetapi juga kerja berpasukan, komunikasi, penyelarasan, disiplin serta cara menghadapi kemenangan dan kekalahan,” katanya.
Katanya, kemahiran berkenaan boleh diterapkan dalam kehidupan seharian, termasuk ketika bekerja, mengurus organisasi dan melaksanakan tanggungjawab dalam komuniti.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih banyak persatuan di Bintulu membuka peluang kepada belia untuk terlibat secara langsung dalam pengurusan organisasi, termasuk diberi tanggungjawab mengetuai program dan aktiviti.
Pada majlis sama, Johnny turut mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada Kumpulan Belia Persatuan Klan Liu Bintulu bagi menyokong penganjuran kejohanan berkenaan. -EDISI UKAS