61 Sepanduk Meriahkan Sambutan Maulidur Rasul Di Bintulu
BINTULU: Sebanyak 61 sepanduk daripada pelbagai kontinjen memeriahkan Pertandingan Sepanduk Peringkat Bahagian Bintulu 1448H/2026M yang diadakan sebagai alternatif kepada penganjuran perarakan dan perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul tahun ini.
Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey berkata, pertandingan berkenaan membolehkan masyarakat terus menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul meskipun acara perarakan dan perhimpunan tidak dapat dilaksanakan susulan faktor keselamatan serta keadaan jerebu.
Menurut beliau, penyertaan 61 kontinjen membuktikan semangat masyarakat Bintulu untuk terus menghayati sambutan menerusi pendekatan yang bersesuaian dengan keadaan semasa.
Beliau berkata, setiap kontinjen turut mengetengahkan kreativiti masing-masing menerusi penghasilan sepanduk yang membawa mesej berkaitan penghayatan Maulidur Rasul.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Sepanduk Peringkat Bahagian Bintulu 1448H/2026M di Dewan Suarah Bintulu, pada Selasa.
Pertandingan berkenaan melibatkan enam kategori penyertaan dan memberi ruang kepada masyarakat daripada pelbagai lapisan untuk mengambil bahagian dalam sambutan secara kreatif dan bermakna.
Menurutnya, penganjuran tersebut turut mencerminkan komitmen masyarakat setempat dalam memastikan penghayatan Maulidur Rasul terus dipelihara walaupun format sambutan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa.
Pertandingan itu sekali gus menjadi wadah menyatukan masyarakat menerusi pengisian keagamaan, kreativiti dan semangat kebersamaan.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Dato Haidar Khan Asghar Khan. -EDISI UKAS