PUSA: Amalan Ziarah ‘Ringgo’ terus menjadi wadah penting dalam memperkukuh silaturahim, perpaduan dan keharmonian masyarakat di kawasan Pusa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, ‘Ringgo’ merupakan adat dan budaya warisan masyarakat setempat yang lazimnya diamalkan setiap kali tibanya perayaan Islam menerusi aktiviti menziarahi serta menjemput sanak saudara ke rumah.
Menurutnya, keunikan budaya berkenaan turut terserlah apabila masyarakat pelbagai kaum dan agama bersama-sama menyertai sambutan, sekali gus mencerminkan nilai toleransi serta keharmonian yang kukuh dalam kalangan masyarakat Sarawak.
“Budaya ‘Ringgo’ ini perlu terus dijaga dan dipelihara agar semangat perpaduan serta sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat Sarawak sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai program Ziarah ‘Ringgo’ di Kampung Pusa sempena sambutan Maulidur Rasul, di sini pada Isnin.
Dato Razaili berkata, penyertaan masyarakat pelbagai kaum termasuk komuniti Cina dan Bidayuh dalam aktiviti ziarah berkenaan membuktikan semangat kebersamaan serta toleransi yang tinggi dalam kalangan penduduk tempatan.
Sehubungan itu, beliau berharap semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi kekuatan masyarakat Sarawak terus diperkasa bagi memastikan negeri ini kekal aman, bersatu padu dan makmur. -EDISI UKAS