Program Lawas Berselawat Jadi Wadah Penghayatan Sirah Rasulullah SAW
LAWAS: Program Lawas Berselawat sempena Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M menjadi wadah menghayati sirah, perjuangan dan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan dalam membentuk hubungan serta kehidupan bermasyarakat.
Pegawai Hal Ehwal Islam merangkap Timbalan Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lawas, Mohammad Shahtella Montel berkata, penghayatan terhadap nilai yang ditunjukkan Rasulullah SAW perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam membina hubungan yang berasaskan hormat, kasih sayang dan persaudaraan.
Menurutnya, sambutan Maulidur Rasul tidak seharusnya berhenti pada pengisian selawat dan program keagamaan, sebaliknya menjadi ruang untuk umat Islam meneladani akhlak serta perjuangan Baginda.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah dan ceramah pada Program Lawas Berselawat sempena Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M di Masjid Darul Ma’amur, di sini pada Isnin.
Program anjuran bersama Lembaga Amanah Kebajikan Khairat Islam Lawas (LAKHIL), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Lawas itu menghimpunkan masyarakat setempat menerusi pengisian selawat dan kerohanian.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama isteri, Dato Dayang Morliah Awang Daud.
Mohammad Shahtella berkata, penghayatan terhadap sirah Rasulullah SAW mampu memperkukuh ukhuwah dan membantu membentuk masyarakat yang lebih harmoni serta saling menghormati.
Dalam pada itu, penganjuran Lawas Berselawat turut memberi ruang kepada masyarakat menjadikan masjid sebagai tempat pengisian ilmu dan kerohanian, selain mengeratkan hubungan sesama komuniti.
Turut hadir, Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Abdul Latip, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Setiausaha LAKHIL, Awang@Ibrahim Ahmad, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Lawas, Ikram Jamil, Pengarah ILIM Lawas, Sheikh Hadzrei Adam Sebeberi serta Pemanca Hassan Pilus. -EDISI UKAS