Integriti Jadi Asas Kemajuan Sarawak Dalam Era AI, Hidrogen
MIRI: Kemajuan Sarawak dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi satelit, tenaga hidrogen dan pertanian pintar perlu disokong pengukuhan integriti serta akhlak masyarakat bagi memastikan pembangunan yang dicapai memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, kemajuan negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu disertai pembentukan minda, jati diri dan sahsiah masyarakat.
“Amalan seperti menepati masa, melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan tidak mengambil hak orang lain demi kepentingan peribadi merupakan antara asas penting kepada kemajuan sesebuah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Miri 2026 di Stadium Bandaraya Miri, pada Selasa.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak kini memperluas pembangunan dalam bidang strategik termasuk infrastruktur digital, AI, teknologi satelit, tenaga hijau mampan, ekonomi hidrogen dan pertanian pintar.
Katanya, pelaksanaan projek berkenaan bukan sekadar bertujuan meningkatkan kapasiti ekonomi, tetapi turut membuka ruang kepada masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan peluang baharu.
Namun, beliau menegaskan kemajuan tersebut perlu disertai nilai amanah dan integriti yang boleh dicontohi daripada kehidupan Rasulullah SAW.
“Nilai integriti dan amanah yang ditunjukkan Rasulullah SAW perlu diterapkan dalam kehidupan seharian, termasuk ketika melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja dan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan yang menggabungkan pembangunan ekonomi, ilmu dan kerohanian penting bagi membentuk masyarakat yang mampu menikmati kemajuan tanpa mengabaikan nilai moral serta jati diri.
Dalam pada itu, Datuk Dr Ripin menyeru masyarakat terus memelihara keharmonian dan menghormati perbezaan kaum serta agama kerana perpaduan dalam kepelbagaian merupakan antara kekuatan utama Sarawak.
Sambutan bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’ itu turut menyaksikan perhimpunan dan pertandingan sepanduk melibatkan 85 penyertaan daripada sekolah, agensi kerajaan dan persatuan.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang, Residen Bahagian Miri, Galong Luang serta Timbalan Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Miri 2026, Norlila Ulis. -EDISI UKAS