Tai Chi Bawa Nilai Keseimbangan, Disiplin Serta Hormat Kepada Guru
MIRI: Seni Tai Chi bukan sekadar aktiviti fizikal, malah membawa nilai keseimbangan, ketenangan, disiplin, ketabahan serta rasa hormat kepada guru yang amat relevan dalam kehidupan masyarakat moden.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, dalam kehidupan yang semakin pantas serta penuh tekanan, amalan Tai Chi mampu membantu masyarakat mengekalkan kecergasan fizikal di samping memberi ruang untuk menenangkan minda.
Menurutnya, nilai yang terkandung dalam seni tersebut perlu terus diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan Tai Chi Huang kekal relevan dan mempunyai tempat dalam masyarakat.
“Yang perlu diwariskan bukan hanya satu set pergerakan Tai Chi, tetapi juga disiplin, ketekunan, rasa hormat kepada guru serta nilai budaya yang terkandung di dalamnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala ‘International Tai Chi Huang Workshop and Forum’ 2026 sempena sambutan ulang tahun ke-60 ‘Miri Tai Chi Physical Culture Association’ di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, usaha melestarikan budaya tidak boleh hanya bergantung kepada generasi terdahulu, sebaliknya generasi muda perlu bersedia mengambil alih tanggungjawab untuk meneruskan legasi berkenaan.
Katanya lagi, Tai Chi juga tidak seharusnya dilihat sebagai aktiviti yang hanya sesuai untuk golongan berusia, sebaliknya perlu diperkenalkan dengan lebih meluas kepada generasi muda.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS