Sukan Satukan Masyarakat Pada Hari Terakhir SKS Sarikei
SARIKEI: Aktiviti sukan menjadi antara pengisian utama hari terakhir Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sarikei, hari ini, dengan penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.
Antara acara yang berlangsung ialah Petanque Beregu Terbuka, Tarik Tali Kategori 720 kilogram dan Wall Climbing yang menghimpunkan belia serta komuniti setempat.
Penglibatan peserta dalam pelbagai acara tersebut bukan sahaja menggalakkan aktiviti fizikal, malah memupuk semangat kesukanan, kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Petanque Beregu Terbuka menguji ketepatan dan strategi, manakala acara tarik tali menekankan kekuatan serta kesepaduan pasukan.
Wall Climbing pula memberi peluang kepada peserta mencabar keupayaan fizikal, termasuk mereka yang pertama kali mencuba aktiviti berkenaan.
Aktiviti berkenaan berjaya melengkapkan pengisian hari terakhir Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Sarikei yang berlangsung selama tiga hari, bermula 7 hingga 9 Ogos.-EDISI UKAS