KUCHING: Lima kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dalam kategori tidak sihat setakat jam 8 pagi hari ini, berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Kawasan berkenaan ialah Serian dengan bacaan IPU tertinggi iaitu 170, diikuti Samarahan (156), Bintulu (156), Kuching (153) dan Samalaju (151).
Sementara itu, jumlah kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat berkurang berbanding enam kawasan yang direkodkan pada petang 8 Ogos.
Pada 8 Ogos jam 4 petang, enam kawasan iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Mukah dan Bintulu merekodkan bacaan IPU tidak sihat, dengan Serian mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 171.
Perkembangan bacaan IPU menunjukkan keadaan kualiti udara di beberapa kawasan Sarawak masih memerlukan perhatian, khususnya susulan keadaan jerebu yang turut dipengaruhi oleh pergerakan asap rentas sempadan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum ini memaklumkan bahawa keadaan jerebu rentas sempadan berpotensi menjejaskan beberapa kawasan di Sarawak dalam tempoh beberapa hari susulan corak angin yang membawa asap dari kawasan berdekatan.
Orang ramai disaran mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara melalui APIMS dan mengambil langkah sewajarnya berdasarkan bacaan IPU di kawasan masing-masing. -EDISI UKAS