Produk Pelancongan Limbang Berpotensi Dikembangkan Melalui Promosi Meluas
LIMBANG: Produk pelancongan di Limbang mempunyai potensi besar untuk terus dikembangkan melalui usaha promosi yang lebih meluas dan berkesan bagi menarik kehadiran pelancong ke daerah ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pembangunan sesuatu produk pelancongan tidak seharusnya tertumpu kepada aspek pengoperasian semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan strategi promosi yang lebih agresif termasuk penggunaan platform digital.
“Kalau boleh, kita bukan hanya untuk pengoperasian sahaja, tetapi saya minta sesiapa yang dapat kontrak untuk mempromosikan ini bersekali dengan memajukan tempat ini dari segi pelancongannya, termasuklah buat laman sesawang dan sebagainya di internet, promosikan pada dunia tentang kewujudan kawasan ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pesta Bebuak 2026, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, usaha promosi amat penting memandangkan jumlah pengunjung sebelum ini masih rendah, sekali gus memerlukan pendekatan lebih proaktif bagi meningkatkan kehadiran pelancong ke kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Datuk Hasbi turut menekankan keperluan membangunkan pakej pelancongan yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan pelbagai produk sedia ada termasuk kawasan semula jadi, sungai serta pengalaman budaya masyarakat tempatan di daerah itu.
Tambahnya, penambahbaikan kemudahan seperti penyediaan pondok, ruang perniagaan serta elemen pendidikan mampu meningkatkan pengalaman pelawat sekali gus menjadikan destinasi tersebut lebih menarik.
Beliau turut berkongsi maklum balas daripada pelancong luar yang menunjukkan kawasan berkenaan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan, sekali gus membuktikan kepentingan promosi digital dalam memperkenalkan destinasi tersebut ke peringkat lebih luas.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat dapat bekerjasama dalam merancang serta melaksanakan strategi promosi yang lebih berkesan bagi memperkasa sektor pelancongan di Limbang.
Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Rozita Kulai, wakil Pegawai Daerah Limbang Hadiana Simatzaman, Pengerusi Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat, Setiausaha Majlis Daerah Limbang Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Matlamat Pembangunan Mampan Henry Madai dan Ketua Kampung Meritam Mahmud Gampal. -EDISI UKAS