Pertanian Di Sungai Asap Perlu Beralih Kepada Model Komersial Berkelompok
BELAGA: Sektor pertanian di Sungai Asap perlu beralih daripada aktiviti sara diri kepada model komersial secara berkelompok bagi meningkatkan pendapatan serta memperkukuh sosioekonomi masyarakat setempat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menegaskan, pendekatan baharu ini perlu disokong dengan pengeluaran produk bernilai tinggi, rantaian bekalan yang lengkap serta penggunaan teknologi moden.
“Kita tidak boleh menganggap sektor pertanian sekadar untuk sara diri semata-mata, sebaliknya ia perlu dijana sebagai pekerjaan yang mampu memberikan pulangan kewangan yang lumayan.
“Masa sudah semakin singkat dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 hanya tinggal beberapa tahun sahaja.
“Justeru, kita perlu mengenal pasti tanaman jangka pendek yang mampu menghasilkan pulangan pantas secara berkelompok,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Penangguhan Agricop dan Perasmian Nai Nemuai Birami (NNB) 2026 di Dewan Lamin Adet Bangen Kimet, Uma Baha, di sini pada Sabtu.
Dato Sri Dr Stephen Rundi menambah, kerajaan Sarawak juga berusaha menarik pelabur atau rakan strategik yang mempunyai dana stabil dan teknologi moden untuk bekerjasama bagi membangunkan sektor pertanian tempatan menerusi kaedah baharu.
Sehubungan itu, beliau menggesa pegawai di lapangan, Persatuan Peladang Kawasan (PPK) serta pemimpin tempatan untuk mendapatkan input daripada masyarakat, menyediakan pelan induk dan menerapkan elemen pertanian pintar serta Internet of Things (IoT).
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon dalam ucapan aluannya menekankan bahawa penganjuran NNB 2026 merupakan platform kukuh untuk merapatkan hubungan antara kerajaan, RTM, dan masyarakat setempat, selain memperkasakan warisan serta potensi ekonomi pedalaman.
Program Agricop yang berlangsung selama dua hari itu berjaya menarik penglibatan 147 peserta menerusi pelbagai kursus pertanian, manakala kemuncak NNB 2026 yang dihadiri kira-kira 300 orang turut disemarakkan dengan persembahan kebudayaan, pameran dan persembahan artis tempatan.
Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datu Sirai Daha, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat, Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit serta Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah. -EDISI UKAS