Mia Lengkapkan Legasi Cemerlang Keluarga Ghazali, Ekori Jejak Abang Rangkul Emas SUKMA
KLANG: Mia Ghazali melengkapkan legasi cemerlang keluarga Ghazali Zulfikar dalam arena muay thai selepas turut mengekori kejayaan tiga abangnya memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA).
Beliau menoktahkan kejayaan tersebut selepas menewaskan Damia Husna Azian dari Johor dalam kategori wanita 45kg dengan skor 34-33 pada hari terakhir acara muay thai SUKMA XXII Selangor 2026 di KSL Esplanade Mall di sini hari ini.
Kemenangan itu sekali gus menghadiahkan satu-satunya pingat emas buat kontinjen muay thai Sarawak pada kempen kali ini.
Ia merupakan kemenangan pertama atlet berusia 15 tahun atau nama sebenar Emylia Lynn Ghazali Zulfikar di pentas SUKMA.
Untuk rekod, tiga abangnya iaitu Elias Ghazali Zulfikar, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo) dan Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (Miki) juga merupakan pemenang pingat emas pada SUKMA lepas.
Dalam pertarungan itu, Mia berdepan tentangan sengit dari Damia Husna namun berjaya menguasai mata selesa dalam dua pusingan awal.
Sorakan padu penyokong Johor mengangkat semula semangat Damia Husna untuk melancarkan serangan bertubi ke arah Mia pada pusingan ketiga.
Namun nasib lebih memihak kepada Mia untuk menang dengan mata 34-33.
"Saya berlatih kira-kira dua bulan untuk memantapkan teknik saya. Saya sangat fokus terhadap latihan dan ia amat berbaloi.
"Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan keputusan ini," katanya ketika ditemuramah selepas perlawanan.
Menurut Mia, kehadiran keluarga beliau terutama tiga abangnya amat menyuntik sokongan moral kepadanya dalam perlawanan tersebut.
Selain itu, sokongan padu dari penyokong Sarawak amat membantu beliau mencari rentak untuk menampilkan persembahan bertenaga.
Mengulas perancangan masa depan, beliau meletakkan impian untuk mengikut jejak abangnya bertanding di Thailand.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih beliau dan semua pihak yang memberikan sokongan kepadanya selama ini.
Hadiah telah disampaikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Secara keseluruhan, skuad muay thai Sarawak mengumpul satu emas dan tiga gangsa untuk menduduki tangga kelima pada kempen SUKMA kali ini. - EDISI UKAS