Keyakinan Jadi Kunci, Joan Pimpin Sarawak Raih Emas
SELANGOR: Keyakinan terhadap kemampuan pasukan menjadi antara kunci kejayaan skuad bola tampar wanita Sarawak menampilkan aksi meyakinkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 Selangor 2026.
Kapten Pasukan Bola Tampar Wanita Sarawak Joan Ling berkata, aspek keyakinan amat penting terutama ketika berdepan saingan sengit daripada pasukan lawan sepanjang pertandingan.
“Keyakinan merupakan sesuatu yang sangat penting. Kami perlu yakin dengan kemampuan sendiri.
“Seperti yang dikatakan oleh jurulatih kami, kami hanya perlu turun beraksi dan menunjukkan siapa yang lebih baik serta memberikan persembahan terbaik dalam pertandingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perlawanan yang menyaksikan Sarawak meraih pingat emas selepas menewaskan Selangor 3-0 pada Ahad.
Joan yang berusia 21 tahun menambah, kejayaan pasukan itu bukan diraih dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil persiapan dan latihan yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu.
“Kami telah menjalani latihan sejak tahun lalu. Semua orang memberikan komitmen dan berusaha bersungguh-sungguh,” jelasnya.
Bagi Joan, penyertaan kali terakhir di pentas SUKMA turut membawa makna tersendiri apabila beliau mahu menggunakan pengalaman dimiliki untuk membantu pasukan mencipta lebih banyak kejayaan buat Sarawak.
“Saya ingin mendedikasikan kejayaan ini untuk Sarawak. Kami sangat berbangga, kami bangga menjadi anak Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih, persatuan serta keluarga yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan sepanjang tempoh persiapan dan pertandingan.-EDISI UKAS