BANGI: Penolong Ketua Kontinjen (ACDM) skuad tinju Sarawak, Royston Valentine tetap berpuas hati dengan pencapaian petinju negeri pada kempen Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 sekali pun gagal memenangi pingat emas kali ini.
Menurutnya, atlet telah memberikan yang terbaik, bersaing dengan penuh keberanian dan semangat juang yang tinggi untuk membawa nama Sarawak pada kempen kali ini.
Ujarnya, keputusan SUKMA kali ini juga perlu menjadi tanda aras untuk ditambahbaik oleh pihak persatuan, Majlis Sukjan Negeri Sarawak (MSNS) dengan melakukan penilaian dan memulakan persiapan lebih awal bagi SUKMA 2028.
“Kita perlu mengenalpasti kekuatan, memperbaiki kelemahan, meningkatkan program pembangunan atlet serta memberi lebih banyak pendedahan pertandingan agar pasukan tinju Sarawak kembali dengan persediaan yang lebih mantap dan sasaran serta pencapaian yang lebih baik di SUKMA akan datang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari terakhir acara tinju di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh (DTAMS) di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan pasukan, barisan kejurulatihan, Pegawai Sukan MSNS serta semua atlet atas komitmen, pengorbanan dan kerja keras sepanjang tempoh persediaan sehingga tamat pertandingan.
Dalam masa sama, beliau berharap atlet tidak putus asa dan terus berlatih sebagai persediaan untuk menghadapi edisi SUKMA akan datang.
Secara keseluruhan, skuad tinju Sarawak merangkul satu perak dan empat gangsa pada kempen kali ini.
Perak disumbangkan oleh Clavia Charlene Sudang Kenedy dalam acara 57 kilogram (kg) wanita.
Manakala gangsa disumbangkan oleh Khairil Hazami Sulam (54kg), Davis Beckham Mit (60kg), Riq Roland (63.5kg) dan Abraham Samuel Jerry (67kg). - EDISI UKAS