Keseimbangan Kurikulum, Kokurikulum Sahsiah Asas Lahirkan Generasi Berkualiti
LIMBANG : Keseimbangan kurikulum, kokurikulum dan sahsiah menjadi asas penting dalam melahirkan generasi yang berkualiti, berdaya saing serta berakhlak mulia.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pendekatan pendidikan perlu bersifat menyeluruh agar pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam aktiviti kokurikulum serta mempunyai sahsiah yang baik.
“Kurikulum, akademik ini sangat penting tapi kokurikulum juga penting. Antara kokurikulumnya adalah bidang sukan, seni dan sebagainya.
“Jangan lupa juga sahsiah, kita kena seimbang antara dunia dan juga akhirat,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Stadium Mini Ar-rahman, Sukan Tahunan Sekolah dan Hari PIBK SK Limbang pada Sabtu.
Menurutnya, pembinaan kemudahan seperti mini stadium di sekolah berkenaan dapat memperkasa penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan sekali gus menyokong pembangunan kokurikulum secara lebih sistematik.
Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut menyatakan bahawa SK Limbang telah melahirkan ramai pelajar berjaya termasuk dalam bidang profesional, sekali gus membuktikan keberkesanan sistem pendidikan di sekolah tersebut.
Tambah beliau, pembangunan pesat Sarawak termasuk dalam ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen membuka peluang luas kepada generasi muda untuk membina kerjaya.
Sehubungan itu, pelajar digesa merebut peluang pendidikan yang disediakan termasuk di peringkat universiti dalam bidang seperti sains, teknologi, kejuruteraan, TVET dan perakaunan.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menyokong pelaksanaan aktiviti sekolah pada tahun ini.
Hadir sama, wakil Pegawai Daerah Limbang Danny David, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Limbang Awangku Abdul Razak Awangku Yusop, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Asmayati Ghazali dan Yang Dipertua PIBG SK Limbang Awang Abdul Rahim Awang Rosely. -EDISI UKAS