Penganjuran Kejohanan Sukan Perlu Konsisten Lahirkan Atlet Berpotensi Ke Peringkat Lebih Tinggi
LIMBANG: Penganjuran kejohanan sukan secara konsisten penting sebagai platform mencungkil dan melahirkan atlet berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk Sukan Malaysia (SUKMA), negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penganjuran kejohanan secara berterusan memberi peluang kepada pemain mempamerkan bakat serta memperoleh pendedahan melalui persaingan yang lebih kompetitif.
“Melalui penganjuran ini, pemain berpeluang mempamerkan bakat dan sekiranya berpotensi, mereka boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi seperti SUKMA, mewakili negeri seterusnya ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Perasmian Kejohanan Badminton Berpasukan Antara Kelab Jemputan 2026 Edisi Ke-6, di sini pada Ahad.
Tambahnya, pendekatan ini bukan sahaja memberi ruang kepada pemain mempamerkan kebolehan masing-masing, malah membuka peluang untuk mereka digilap melalui penganjuran kejohanan secara konsisten serta pendedahan kepada persaingan yang lebih kompetitif.
Terdahulu dalam ucapan, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota memaklumkan, kejohanan yang dianjurkan pada tahun ini berjaya menarik penyertaan 13 pasukan termasuk dari Brunei, Sabah serta beberapa bahagian di Sarawak.
Tambahnya, kejohanan tersebut menawarkan hadiah wang tunai dengan johan membawa pulang RM5,000, sekali gus menjadi tarikan kepada penyertaan lebih meluas.
Menurutnya, badminton merupakan antara sukan popular di Limbang dan pihak persatuan akan terus menganjurkan pertandingan secara terbuka dan tertutup bagi menggalakkan perancangan telah disusun termasuk penganjuran kejohanan yang mengikut peringkat umur, terbuka berpasukan pada Ogos, diikuti tertutup individu pada September dan terbuka individu pada Oktober.
Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Badminton Bahagian Limbang (PBBL) berkata, perancangan sedang dibuat bagi membina dewan badminton khusus di Limbang yang dijangka dapat direalisasikan sekitar tahun 2028.
Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran berterusan ini mampu melahirkan lebih ramai pemain berbakat serta mengharumkan nama Limbang di peringkat lebih tinggi. -EDISI UKAS