Komitmen Berterusan Kerajaan Tingkatkan Standard Kesihatan Negara
LIMBANG: Komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh standard perkhidmatan kesihatan negara terus dipertingkat bagi memastikan penyampaian rawatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, usaha tersebut memerlukan sokongan berterusan melalui pembangunan tenaga kerja kesihatan yang kompeten serta berdaya saing.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan negara berada pada tahap yang setara dengan negara maju dan ini memerlukan petugas kesihatan untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan serta kemahiran masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Jururawat Hospital Limbang, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, peningkatan standard perkhidmatan kesihatan bukan sahaja bergantung kepada kemudahan dan teknologi, malah turut melibatkan kecekapan serta profesionalisme petugas kesihatan dalam memberikan rawatan kepada pesakit.
Datuk Hasbi memberitahu, jururawat memainkan peranan penting sebagai tulang belakang sistem kesihatan dalam memastikan kesinambungan rawatan, pemantauan pesakit serta sokongan menyeluruh kepada pesakit dan keluarga.
Tambahnya, profesion kejururawatan kini semakin berkembang sejajar dengan keperluan semasa serta memberi impak besar kepada sistem kesihatan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru para jururawat untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat selain meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran dalam bidang masing-masing.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara jururawat dengan pelbagai cabang profesion kesihatan serta agensi berkaitan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Pengarah Hospital Limbang Dr Nur Ain Yahya, Pengerusi Pengelola Majlis Makan Malam Hari Jururawat Litad Riong, Ketua Penyelia Jururawat Hospital Limbang Evlyn Sawai Ramba, Presiden Sarawak ‘Medical Services Union’ Bolhanuddin Sabli dan Pengurus Cawangan Bank Rakyat Limbang Mohd Zulhaidie Mohd Fahdil. -EDISI UKAS