Budaya Derma Darah Penting Pastikan Bekalan Darah Hospital Miri Cukup
MIRI: Usaha berterusan pelbagai pertubuhan dan orang awam dalam menderma darah amat penting bagi memastikan bekalan darah di Hospital Miri sentiasa mencukupi, khususnya bagi memenuhi keperluan pesakit sepanjang tahun.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin menghargai usaha Tokong Some Shak Lung Kung dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Miri yang menganjurkan kempen derma darah sebagai satu inisiatif membantu menambah bekalan darah di Hospital Miri.
Menurut beliau, Tabung Darah Hospital Miri menyasarkan pengumpulan sebanyak 10,000 pain darah tahun ini, manakala sehingga kini kira-kira 7,000 pain darah telah berjaya dikumpulkan.
“Ini merupakan satu usaha yang sangat baik kerana tempat ini luas dan sesuai untuk menjalankan aktiviti seperti kempen derma darah.
“Paling penting, kita berharap lebih banyak pertubuhan dan kumpulan masyarakat dapat terus membantu Tabung Darah Hospital Miri mencapai sasaran 10,000 pain darah yang diperlukan setiap tahun,” katanya ketika menghadiri kempen derma darah di Dewan Serbaguna Tokong Some Shak Lung Kung, di sini pada Ahad.
Tambahnya, Miri sememangnya mempunyai budaya menderma darah yang baik, dengan lebih 10,000 penderma darah berdaftar di Hospital Miri.
Menurut Dato Sri Lee, penderma darah sanggup datang sendiri ke hospital untuk menderma darah apabila diperlukan apabila pihak Hospital Miri menghubungi mereka berdasarkan keperluan kumpulan darah tertentu.
“Saya amat menghargai kesediaan dan kerjasama para penderma sukarela ini kerana melalui sokongan mereka, Hospital Miri dapat memastikan bekalan darah bagi pelbagai kumpulan darah sentiasa mencukupi,” katanya. -EDISI UKAS