SKS 2026 Perkukuh Penyampaian Maklumat Kerajaan Kepada Rakyat
SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 terus menjadi medium berkesan dalam memperkukuh penyampaian maklumat berkaitan inisiatif, perkhidmatan dan perancangan kerajaan kepada masyarakat secara langsung.
Penglibatan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan menerusi reruai pameran memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara lebih dekat, selain berinteraksi secara terus dengan petugas mengenai perkhidmatan serta inisiatif yang disediakan.
Pengunjung, Dayang Hajijah Abang Hashim berkata, penganjuran SKS memberi manfaat kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih jelas usaha dan perancangan Kerajaan Sarawak, termasuk pembangunan negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
“Banyak manfaat dan pengetahuan dapat diperoleh melalui program ini, termasuk maklumat mengenai kejayaan Sarawak serta perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
“Maklumat yang dipamerkan di setiap reruai juga memberi peluang kepada pengunjung mengetahui dengan lebih dekat inisiatif dan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, Noon Sigat, berkata penglibatan Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Unit Promosi Kesihatan Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei dalam SKS 2026 turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai amalan hidup sihat.
Menurutnya, kempen Cara Hidup Sihat menerusi agenda Malaysia Sihat disampaikan melalui pelbagai aktiviti dan permainan interaktif bagi menggalakkan penglibatan komuniti.
“Kita berharap perkongsian seperti ini dapat memberi impak positif kepada komuniti dan menggalakkan lebih ramai masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hamidah Randong, berkata penyediaan perkhidmatan seperti pemeriksaan kecergasan di lokasi program memberi manfaat secara langsung kepada pengunjung, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan.
“Program seperti ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian maklumat, malah membolehkan pelbagai perkhidmatan dibawa secara terus kepada rakyat.
“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat,” katanya.- EDISI UKAS