SUKMA Selangor: Skuad Tinju Sarawak Sasar Pertahan Empat Emas
KUCHING: Skuad tinju SUKMA Sarawak mensasarkan untuk mengekalkan pencapaian kutipan empat pingat emas yang dilakar dua tahun lepas pada kempen kali ini yang bakal berlangsung di Selangor.
Sasaran itu dinyatakan oleh Presiden Persatuan Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) Dato Rahman Lariwoo sambil percaya ia mampu dicapai oleh petinju melihat kepada persiapan rapi skuad itu kali ini.
“Sasaran kita mahu mengekalkan empat pingat emas yang dimenangi di Sarawak tahun lepas.
“Jika berjaya memenangi lebih dari sasaran tersebut, ia satu bonus untuk pasukan dan kontinjen Sarawak,” katanya ketika ditemui hari ini.
Bagi memantapkan persediaan, Dato Rahman menjelaskan, skuad tinju Sarawak ketika ini sedang berguru di Thailand sejak 19 Julai lalu hingga 8 Ogos ini bagi memantapkan persiapan mereka untuk menghadapi kejohanan kali ini.
Di sana katanya, atlet Sarawak akan diberi peluang berlatih bersama petinju handalan Highland Boxing Gym, Bangkok Thailand bagi meningkatkan lagi kemahiran serta ketahanan fizikal dan mental.
“Ia merupakan persiapan terakhir petinju sebelum mereka berlepas ke Selangor kelak," katanya sambil berharap semua petinju dalam keadaan baik dan terhindar dari sebarang kecederaan.
Pada edisi kali ini, skuad tinju Sarawak akan diperkuatkan oleh barisan petinju lama yang pernah menyumbang pingat pada edisi lepas dan beberapa muka baharu.
Akui mereka bakal berdepan cabaran getir di Selangor, Dato Rahman tetap meniupkan kata-kata semangat kepada atlet khususnya muka baharu agar tidak gentar dan tampil dengan semangat Agi Idup Agi Ngelaban untuk memastikan misi empat emas berjaya dicapai.
Untuk rekod, kem tinju Sarawak berjaya menggondol empat emas, empat perak dan tiga gangsa pada SUKMA 2024 di Sarawak.
Sukan tinju akan berlangsung dari 16 hingga 23 Ogos di Dewan Tun Abdullah Mohamad Salleh, Bangi. - EDISI UKAS